Bukit Gambang Resort City dan McDonald's Ceriakan Pelajar Tahfiz


Berpeluang mengikuti percutian santai bersama keluarga tercinta serta 60 orang pelajar tahfiz di Bukit Gambang Resort City pada hari Rabu yang lalu, merupakan pengalaman istimewa yang pasti tidak akan saya lupakan.


Program amal hasil anjuran bersama Bukit Gambang Resort City dan McDonald's Malaysia serta dibantu oleh team Blogger Pantai Timur ini merupakan program yang julung kali diadakan dan berjaya mencipta kenangan di hati para pelajar daripada Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Al-Hidayah Ad-Diniah Perkampungan Bukit Goh yang menyertainya.

Bukit Gambang Resort City dan McDonald's Ceriakan Pelajar Tahfiz

Ketibaan 2 buah bas yang membawa para pelajar dan guru pengiring seawal jam 9.30 pagi disambut mesra oleh kakitangan Bukit Gambang Water Park. Jumlah keseluruhan pelajar dan guru yang mengikuti program ini adalah seramai 74 orang termasuk tambahan 5 orang wakil daripada team Blogger Pantai Timur (#teambpt).


Dapat dilihat di setiap wajah yang melangkah turun daripada pintu bas, terselit senyuman kegembiraan diselangi dengan gelak tawa riang yang jelas menunjukkan perasaan teruja mereka. Siapa yang tidak teruja jika dapat menghabiskan masa di salah sebuah taman tema air popular di Malaysia kan?


Bukit Gambang Resort City

Sebelum masuk ke dalam water park, para pelajar dan guru dipakaikan tiket wristband oleh kakitangan. Harga tiket masuk adalah RM33 bagi dewasa dan RM23 bagi kanak-kanak dan warga emas. Beberapa orang pelajar juga turut tidak melepaskan peluang untuk membeli alatan keperluan mandi terlebih dahulu di kedai yang terdapat di pintu masuk.


Perkara pertama yang kami lakukan sebaik sahaja masuk ke dalam water park adalah menuju ke tempat sewaan pelampung (tube) bagi urusan sewaan 2 buah cabana dan 20 biji double tube. Wajah teruja setiap pelajar dapat dilihat saat membawa tube masing-masing ke cabana.

Bukit Gambang Resort City dan McDonald's Ceriakan Pelajar Tahfiz

→ Sistem E-Value

 Di Bukit Gambang Resort City, sistem e-value digunakan bagi setiap urusan sewaan dan pembelian barangan. Sebarang pembayaran menggunakan wang tunai adalah tidak diterima. Pelawat boleh membuat tambah nilai e-value di kaunter yang disediakan dan semasa pembayaran, pelawat hanya perlu menunjukkan tiket wristband untuk di scan.


Jumlah belian akan ditolak terus daripada akaun e-value pelawat dan baki e-value yang tidak habis digunakan boleh ditebus kembali di pintu keluar dalam bentuk wang tunai. Sistem e-value ini memudahkan pelawat untuk membuat bayaran secara cashless.


 Pelawat tidak perlu risau kemungkinan wang hilang ketika bermandi-manda atau masalah sukar membawa dompet. Dengan e-value wristband, wang akan disimpan dengan baik serta jaminan pulangan baki wang. E-value boleh digunakan bagi tempahan tube, locker, cabana, makanan dan barangan di kedai cenderahati.


→ Sub-Bahagian Water Park

Selesai membuat bayaran, kami bergerak ke cabana yang telah disewa dan mula bersiap untuk mandi-manda. Yang paling teruja tentulah para pelajar kerana belum sempat duduk, mereka telah siap melayang ke dalam kolam. Macam-macam aksi dan gaya yang dapat dilihat termasuk mendengar lontaran suara jeritan kegembiraan di sana sini.

Daripada satu lokasi ke satu lokasi mereka bermain tanpa lelah. Ekspresi muka usah ditanya, semua super excited dan bergelak riang. Gembira saya melihat telatah para pelajar, malahan siap ada aksi lawak yang sempat saya lihat :D

Bukit Gambang Resort City dan McDonald's Ceriakan Pelajar Tahfiz

Terdapat tiga bahagian utama di dalam water park ini yang mempunyai ciri-ciri berbeza antara satu sama lain bagi menambahkan lagi pengalaman bermain air di Bukit Gambang Water Park. Antara sub-bahagian tersebut adalah:

1. Cabana Coco Beach (wave pool)
2. Penguin Island - Glacier River, Aqua Play, Kids Splash Pool and Slides
3. Tree Top Hill Slides - 6-Lane Racer, Family Raft Ride, Crystal, Galaxy and Canopy Slides

Ingin berbaring di bawah terik matahari ala mat saleh? Cabana Coco Beach adalah tempat yang sesuai. Dikelilingi dengan cabana, pantai buatan ini menghasilkan ombak buatan yang akan berlaku setiap selang masa tertentu dan siren amaran akan dibunyikan bagi menandakan gelombang ombak akan mula membadai.


Berbaring di atas pelampung dan nikmati perasaan bagai dialun oleh gelombang ombak di pantai. Yang penting, anda tidak akan dihanyutkan ke tengah dan usah bimbang jika hanyut, anda masih di Gambang Water Park! Penguin Island merupakan tempat yang paling sesuai untuk kanak-kanak. Curahan air dari mulut ikan di Aqua Play memang amat mengujakan.

Bukit Gambang Resort City dan McDonald's Ceriakan Pelajar Tahfiz

Jika ingin bersantai, kanak-kanak boleh menyelusuri perjalanan sepanjang Glacier River menggunakan pelampung. Kemudahan slides untuk kanak-kanak juga turut disediakan. Antara tempat yang paling mencabar menjadi pilihan kegemaran saya adalah di Tree Top Hills Slides. Tidak lengkap sekiranya datang ke Gambang Water Park tanpa masuk ke bahagian ini.


Namun jika tidak mencapai ketinggian lebih daripada 110cm dengan berat di bawah 80kg, maka pengalaman terbang di 6-Lane Racer terpaksa dibatalkan. Jika berdegil, mungkin anda akan dapat rasai pengalaman terbang dan terhentak di slide yang boleh menyakitkan tubuh badan. Berani ke?


Tak mengapa jika tidak dapat masuk ke 6-Lane Racer, anda masih boleh menaiki Family Raft Ride yang mampu memuatkan 6 orang di dalam satu raft. Berpusing dalam terowong terpanjang di Malaysia sambil menjerit sepuas hati pasti melegakan.

Dan jika anda datang berpasangan, apa kata nikmati perjalanan gelap dalam Canopy dan Galaxy Slides untuk pengalaman mencabar. Namun, anda harus mencapai ketinggian 110cm ke atas untuk masuk ke bahagian ini. Jika anda tidak dapat masuk ke mana-mana bahagian di Tree Top Hills Slides, ini bermaksud anda masih kecil dan hanya sesuai untuk bermain di Penguin Island :D


→ Tempat Makan di Water Park

Setelah penat bermain, perut mula menyanyikan lagu merdu. Jadi saya mengalas perut di Pizza Time sementara menanti waktu makan tengahari. Para pelajar juga telah diperuntukan oleh pihak sekolah dengan wang saku masing-masing untuk membeli makanan yang terdapat di dalam water park.

Bukit Gambang Resort City dan McDonald's Ceriakan Pelajar Tahfiz

Terdapat dua buah kedai yang boleh diserbu sekiranya perut mula berkeroncong iaitu di Pizza Time yang menyediakan pelbagai jenis menu pizza yang lazat dan terbaik, serta di Penguin Express yang menyediakan pilihan makanan segera seperti burger atau makanan berat seperti nasi.


Antara perkara yang tidak boleh dilakukan di sini ialah membawa masuk makanan luar ke dalam kawasan water park. Ketika melalui pintu masuk ke dalam water park, setiap beg yang ingin dibawa masuk akan digeledah oleh kakitangan bagi memastikan tiada makanan di bawa masuk.

Bukit Gambang Resort City dan McDonald's Ceriakan Pelajar Tahfiz

Sempat jugalah saya tengok beberapa bungkusan makanan yang tersadai di pintu masuk tidak berjaya diseludup. Jadi ingat ya, makanan daripada luar adalah tidak dibenarkan.

Kejutan Happy Meal oleh McDonald's

Lebih kurang jam 1.30 tengahari, kebanyakan pelajar telah mula kepenatan dan hanya menghabiskan masa bermain air di Cabana Coco Beach kerana persekitarannya yang lebih santai dan terbuka. Berbaring di atas double tube sambil diulit dengan alunan ombak memukul dinding pelampung menghasilkan perasaan tenang dan rileks.


Walaubagaimanapun, pancaran matahari terik memaksa sesetengah pelajar dan guru berteduh di bawah cabana bagi mengelakkan panahan mentari yang boleh menyebabkan sunburn :P


Pada ketika ini, saya telah mula bersiap menukar baju di bilik persalinan bagi membuat persediaan menyusun set Happy Meal daripada McDonald's yang bakal tiba tidak lama lagi. Ini merupakan kejutan buat para pelajar kerana mereka tidak dimaklumkan akan menerima set makanan happy Meal.

Bukit Gambang Resort City dan McDonald's Ceriakan Pelajar Tahfiz

Seorang wakil blogger iaitu Husniey, telah siap mengambil bekalan Happy Meal daripada McDonald's Jalan Gambang untuk diberikan kepada pelajar tahfiz. Jadi tugas saya seterusnya adalah menguruskan pemberian Happy Meal bersama Husniey dan kakitangan yang lain.


Terukir senyuman di wajah setiap pelajar sebaik melangkah keluar daripada water park dan melihat Happy Meal sedia terhidang di atas meja. Tambah mengujakan apabila seekor maskot singa juga turut berada di situ untuk memeriahkan majlis.


Setiap pelajar menerima Happy Meal masing-masing sebagai bekalan dalam perjalanan pulang ke sekolah. Semoga adik-adik tahfiz daripada Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Al-Hidayah Ad-Diniah Perkampung Bukit Goh gembira dengan program yang telah dijalankan dan maju jaya dalam pelajaran. Program berakhir jam 3.30 petang dan saya meneruskan misi untuk merehatkan badan di >> Arabian Bay Resort pula :D

Bukit Gambang Resort City dan McDonald's Ceriakan Pelajar Tahfiz

Ucapan terima kasih buat guru pengiring yang banyak membantu iaitu Ustazah Atikah dan Ustaz Saiful serta tidak lupa juga ucapan terima kasih tidak terhingga kepada wakil daripada Bukit Gambang Resort City iaitu Cik Atiqah selaku marketing team yang setia melayani kerenah kami sepanjang program berlangsung. Jika terdapat sebarang kekurangan daripada pihak Blogger Pantai Timur, mohon maaf dipinta.


Program di Sponsor Oleh

Ucapan terima kasih tidak terhingga buat pihak yang telah menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program ini. Semoga perniagaan terus maju jaya dan berkembang buat :

Bukit Gambang Resort City
Laman web : https://bgrc.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/BukitGambangResortCity/

McDonald's Malaysia
Laman web : https://www.mcdonalds.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/My.McDonalds/

Catat Ulasan

16 Ulasan

  1. Tahniah kepada Bukit Gambang Waterpark dan McDonald’s serta pihak terlibat bagi menjayakan program seperti ini.. Hebatt 😍

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah, tahniah.. akhirnya semuanya berjalan dengan lancar.

    BalasPadam
  3. alhamdulillah seronok tengok adik2 ni happy

    BalasPadam
  4. Bestnya BGRC ni..bagus ada aktiviti mcm ni..dapat megeratkan silaturrahim

    BalasPadam
  5. bgs betul CSR mcD ni... sentiasa berpeluang beramal utk mereka krg bernasib baik

    BalasPadam
  6. McD sangat baik dan prihatin untuk bahagikan makanan kpd semua orang

    BalasPadam