Upwork | Jana Pendapatan dengan Kerja Online untuk Freelancer

Agak sibuk juga saya sekarang hinggakan nak penuhi rutin menaip di blog pun terpaksa saya tangguhkan. Semuanya gara-gara kelas maya yang saya sertai. Kelas tiga bulan yang dimampatkan menjadi sebulan ini memang agak memenatkan tapi saya gembira kerana jiwa rasa terisi.  Lagi pun salah satu cara nak naikkan motivasi diri adalah dengan belajar perkara baru kan, jadi inilah apa yang saya tengah buat sekarang.


Salah satu perkara yang saya belajar dalam kelas tersebut adalah cara untuk jana pendapatan secara online. Seronok juga timba ilmu baru, jadi rasanya adalah baik kalau saya kongsikan ilmu yang saya dapat supaya dapat digunakan juga oleh orang lain. Diharap semoga ilmu ini dapat membawa manfaat pada yang membaca dan pada masa sama, saya juga dapat tambah sedikit pahala atas perkongsian ini.


Upwork | Jana Pendapatan Online

Sama macam Freelancer, Upwork merupakan suatu laman web kerja samada bagi majikan mencari pekerja atau buat pencari kerja mendapatkan pekerjaan. Menariknya tentang Upwork adalah kerja yang ditawarkan adalah daripada seluruh pelusuk dunia dan boleh dilakukan melalui atas talian sahaja. Samada saya mencari remote job dengan majikan yang berada di Amerika atau Eropah, saya boleh temuinya di Upwork.


Laman web Upwork sangat sesuai bagi mereka yang berminat untuk memulakan karier sebagai freelancer dengan bayaran tinggi. Ini kerana kebanyakan kerja yang diiklankan di Upwork dibayar dalam matawang Dollar malah ada juga yang dibayar dalam matawang Pound Sterling. Jadi tak mustahil kita boleh dapat kadar bayaran yang lebih berbaloi berbanding bayaran yang diterima dalam Ringgit Malaysia. 

Upwork | Jana Pendapatan dengan Kerja Online untuk Freelancer

Walaupun begitu, ada juga matawang asing yang lebih rendah nilainya turut ditawarkan di Upwork. Pendek kata kena pandai buat saringan sebelum membida kerja di Upwork. Sebelum itu, ada beberapa perkara yang saya ingin kongsikan sebelum awak mulakan kerjaya sebagai freelancer di Upwork.


Ada Scammer di Upwork?

Persoalan mengenai scammer adalah antara isu wajib bincang bagi mengelakkan kita daripada tertipu apabila membuat kerja secara atas talian. Ini kerana penipuan atas talian lebih mudah dilakukan kerana kita tidak bertemu mata dengan majikan malah tiada juga pembinaan emosi berlaku kerana semua dilakukan daripada lokasi berbeza.


Tidak terkecuali, Upwork juga merupakan lubuk scammer tapi tidaklah banyak seperti di Freelancer. Oleh sebab itu, penting untuk kita elakkan daripada berurusan dengan scammer untuk pastikan data peribadi tidak disalah guna atau kehilangan wang ringgit. Elakkan berurusan dengan scammer dengan menggunakan kata kunci ini.


Pilih majikan yang mempunyai status payment verified berwarna hijau.


Jangan lupa untuk lihat status payment verified majikan setiap kali sebelum mula membida kerja. Ini tips mudah dan cepat untuk elakkan daripada ditipu oleh scammer. 


Cara Buka Akaun di Upwork

Nak buka akaun di Upwork tak susah tapi yang susahnya nak dapatkan kerja melalui Upwork. Eh, jangan putus asa awal sangat. Jom kita cuba apply dulu sebab rezeki ayam nampak di kaki tapi rezeki manusia siapa yang tahu kan? Walaupun saya belum pernah bida kerja di Upwork lagi tapi saya memang dah tak sabar nak cuba nasib. Paling penting, saya nak cuba siapkan profile terbaik terlebih dahulu supaya majikan mudah nampak kehadiran saya di Upwork.


Cara Buka Akaun Upwork

1. Pergi ke laman web Upwork.

2. Daftar masuk samada menggunakan akaun Gmail atau Apple.

Upwork | Jana Pendapatan dengan Kerja Online untuk Freelancer

3. Masukkan maklumat peribadi.

4. Klik 'work as a freelancer'.

Upwork | Jana Pendapatan dengan Kerja Online untuk Freelancer

5. Tanda pada kotak Yes dan Create My Account.

6. Lengkapkan semua profile dalam kotak merah di bawah. Untuk membida kerja di Upwork, kita kena lengkapkan profile minimum 60%. Muat turun resume untuk cepatkan proses mengisi data ke dalam profile page.

Upwork | Jana Pendapatan dengan Kerja Online untuk Freelancer

7. Masukkan nombor telefon untuk proses verifikasi. Tunggu nombor kod dihantar dan masukkan ke dalam ruang pengesahan.

8. Klik Submit Profile.


 Portfolio Bantu Naikkan Profile

Setelah siap buka akaun, kita boleh lihat pada laman utama profile, ada bahagian Portfolio. Portfolio adalah lokasi di mana kita masukkan bukti kerja yang pernah dibuat. Ianya penting untuk tarik minat majikan tawarkan kerja kepada kita. Sebab itu, jangan lupa untuk muat naik beberapa contoh kerja yang pernah kita buat ke dalam ruangan portfolio sebagai bukti yang kita berkemahiran dalam bidang yang ditawarkan.


Buat  mereka yang tak pernah buat kerja yang boleh dijadikan sebagai portfolio, jangan risau. Kita boleh muatnaik hasil kerja yang kita buat secara suka-suka. Sebagai contoh, saya berminat untuk dapatkan kerja sebagai pereka bentuk logo. Jadi saya buat satu logo secara suka-suka dan hasil kerja yang telah siap saya gunakan sebagai portfolio. Jadi, peluang untuk kita dapat kerja lebih cerah.


Guna Connects sebagai Bayaran

Ada berita buruk! Setiap kali nak bida kerja di Upwork, ada bayaran yang akan dikenakan. Matawang bagi bayaran ini dipanggil Connects. Tapi berita baiknya pula adalah Upwork beri percuma 40 Connects bagi pendaftar yang baru buka akaun dan setiap bulan seterusnya Upwork akan beri lagi 10 connects. Jadi pada bulan pertama akaun dibuka, kita akan dapat 50 Connects yang boleh digunakan untuk membida kerja.


Harga yang ditawarkan oleh majikan adalah berbeza. Ada kerja yang memerlukan 2 Connects, 4 Connects atau 6 Connects. Apabila wang kita telah habis digunakan untuk membida kerja, kita boleh beli tambahan Connects dengan harga USD0.15/connects dalam kuantiti 10, 20, 40, 60 atau 80 Connects. Connects yang tak habis digunakan pada bulan ini akan dibawa pula ke bulan seterusnya.


Bina Beberapa Profile dalam Satu Akaun Upwork

Untuk jadikan profile nampak profesional, kita tentunya nak masukkan semua jenis kemahiran yang kita ada untuk tunjukkan yang kita berkemahiran dalam pelbagai bidang. Opps..seeloknya buat hanya satu kemahiran sahaja bagi satu jenis profile. Sebagai contoh, saya suka menulis, jadi saya letakkan kerjaya pilihan saya sebagai Content Writer dan kemahiran tentunya dalam bidang penulisan seperti kemasukan data, copywriting atau penulisan artikel.


Tapi jika saya ada kemahiran dalam bidang yang berbeza contohnya reka bentuk logo, jadi sebaiknya saya bina akaun profile berbeza khusus untuk dapatkan kerja dalam bidang design. Berbeza dengan Freelancer, keistimewaan ini tak dipunyai di laman web tersebut. Jadi lebih sukar untuk bida jenis kerja berbeza kerana kita cuma ada satu bidang pengkhususan saja di Freelancer. Untung kan buka akaun di Upwork?


Tapi macammana cara nak bina profile berbeza dalam satu akaun di Upwork ni? Ha, mudah saja caranya. Oh, sebelum terlupa..kita hanya boleh cipta maksimum tiga profile akaun sahaja di bawah satu alamat email yang sama. Jadi jom tengok cara untuk bina akaun tambahan ini.


Cara Bina Profile Tambahan di Upwork

1. Klik Setting (di bahagian kanan atas pada gambar profile).

2. Klik Profile Setting.

3. Pada bahagian Specialized Profile, klik Add Specialized Profile.

Upwork | Jana Pendapatan dengan Kerja Online untuk Freelancer

4. Pilih Specialty dan seterusnya isi maklumat seperti awal proses membuat akaun Upwork sebelum ini.


Selesai dan kini kita boleh mula membida kerja di Upwork. Boleh pergi bahagian Find Job untuk bida kerja. Semoga selepas ini kita dimurahkan rezeki untuk dapat banyak tawaran kerja dan kita mampu untuk selesaikannya dengan sebaik mungkin. Aamiin..selamat maju jaya ya awak semua!

Catat Ulasan

0 Ulasan