Tips Elak Terbeli Rumah atau Hartanah di Lokasi Banjir

Ramai yang tahu rumah abah sering dinaiki air. Dalam post terbaru sebelum ini, saya ada kongsikan tentang kejadian banjir besar yang melanda rumah abah pada bulan Februari yang lalu. 


Sudah sebati dengan hujan dan banjir, jadi ia tak lagi jadi perkara pelik dalam hidup kami. Sedari kecil, kami dah dilatih untuk bersedia menyimpan barangan di tempat tinggi sebaik sahaja masuk musim tengkujuh. Meskipun dah terbiasa namun saya sangat trauma dengan banjir. Jadi saat membeli rumah pertama kami, soalan pertama yang keluar dari mulut saya adalah,


rumah kena banjir tak?


Elak Terbeli Rumah/ Hartanah di Lokasi Banjir


Usaha nak beli rumah bukan mudah. Kena semak kelayakan untuk beli rumah terlebih dahulu dan kerja keras untuk kumpulkan 10% deposit rumah. Tak masuk lagi proses untuk dapatkan pinjaman dan kelulusan bank serta segala kos guaman yang perlu ditanggung. Tapi bila dah berjaya beli rumah, rupanya baru tahu hartanah tersebut berada di lokasi banjir. Aduh..


Jadi macammana nak elak daripada terbeli rumah yang mudah dinaiki air? Kalau dulu saya pun tak tahu tips untuk cari rumah ini tapi bila ditanya pada orang tua, mereka memang ada banyak cara untuk memilih hartanah terutamanya jika rumah mereka selalu dinaiki air. Jadi macammana nak tau rumah atau hartanah itu bukan berada di lokasi banjir?


Tips Elak Terbeli Rumah atau Hartanah di Lokasi Banjir
Gambar Facebook


1. Elak beli rumah atau hartanah di kawasan berhampiran sungai atau laluan air.

Jika rumah yang nak dibeli berada di kawasan rendah, pastikan ia tak berada berdekatan laluan air. Ada sesetengah kawasan sungai berada di tempat tinggi. Jadi meskipun berdekatan laluan air, kawasan tersebut tak terkena banjir saat hujan lebat kerana air akan mengalir turun ke kawasan yang lebih rendah. Tapi jika tersilap beli rumah di kawasan berdekatan laluan air seperti sungai dan berada di kawasan tanah rendah, bersiap-sedialah dengan kemungkinan rumah akan dinaiki banjir.


Itu yang terjadi pada rumah abah. Semasa mula-mula beli tanah ini dulu, abah dah survey kawasan tersebut dan bertanya pada jiran tetangga tentang lokasinya samada terkena banjir atau tidak. Kesemua jiran yang ditemui mengatakan tanah pilihan abah itu tak pernah banjir walaupun ia terletak berdekatan dengan kawasan laluan air yang sering dinaiki air, yang mana jaraknya dalam 100 meter daripada tanah pilihan abah.


Tips Elak Terbeli Rumah atau Hartanah di Lokasi Banjir


Jadi abah yakin untuk membeli tanah tersebut kerana lokasi banjir berada agak jauh dari rumah. Nah, selepas beberapa tahun menetap di situ, akhirnya radius banjir semakin membesar dan mula memasuki kawasan perkarangan rumah sehingga ia seolah menjadi pesta tahunan pula untuk melihat banjir di sekitar kawasan rumah kami.


2. Jangan beli jika kedudukan hartanah atau rumah berada lebih rendah daripada jalanraya.

Tips ini abah kongsikan ketika suami nyatakan hasrat untuk membeli tanah bagi dijadikan pelaburan. Tipsnya adalah jangan beli tanah atau rumah yang parasnya berada lebih rendah daripada jalanraya. Cari tanah yang berada samada sama paras atau lebih tinggi daripada paras jalanraya.


Cuba bayangkan apa akan berlaku jika terbeli tanah yang berada lebih rendah daripada paras jalanraya. Ketika hujan lebat, aliran air akan menuruni kawasan jalanraya menuju ke kawasan lebih rendah (dalam kes ini, hartanah yang dibeli adalah kawasan rendah). Ditambah jika sistem perparitan di kawasan tersebut tidak diselenggara dengan baik, air boleh bertakung di kawasan rendah sekaligus mengakibatkan banjir. Jadi elakkan daripada membeli hartanah di kawasan rendah dan di bawah paras jalanraya. 


3. Elak beli rumah atau hartanah yang memang telah diketahui sering banjir.

Harga rumah di Kampung XX sangat murah. Rugi kalau tak beli.


Sebenarnya sangat untung jika tidak membeli hartanah di kawasan banjir walaupun harga yang ditawarkan amatlah murah. Jika dibuat pengiraan, setelah membeli hartanah dan membina rumah, kos yang perlu ditanggung jika rumah dinaiki air bukan sahaja melibatkan kewangan, malahan mental dan fizikal. Belum dikira kos kerosakan rumah akibat banjir,  baik pulih kenderaan dan barangan elektrik serta perabot kayu yang terjejas, kesihatan mental juga sangat terganggu setelah mengalami banjir.


Tips Elak Terbeli Rumah atau Hartanah di Lokasi Banjir
Gambar dari Facebook


Sebab itu ada yang trauma saat melihat hujan turun membasahi bumi selepas mengalami pengalaman banjir. Bagi saya sendiri, emosi saya sangat terkesan ketika banjir yang lalu mengenangkan rumah ma dan abah terjejas teruk. Saya sendiri tak mampu untuk membersihkan kesan banjir lumpur yang melanda, apatah lagi kedua orang tua yang telah tua. Jadi, amatlah tak berbaloi untuk membeli hartanah di kawasan banjir walaupun harganya lebih murah daripada pasaran.


Apa Nak Buat Jika dah Terbeli Hartanah Kerap Banjir?

Dalam keadaan cuaca yang makin tak menentu kini, kita dikejutkan dengan banyak kawasan yang telah lama tak dilanda banjir sebelum ini dinaiki air. Sebagai contoh Taman Sri Muda di Shah Alam yang dilanda banjir besar pada tahun ini, kali terakhir lokasi tersebut dinaiki air adalah pada 27 tahun yang lepas! Siapa sangka tahun ini lokasi tersebut akan dilanda banjir pula kan?


Tips Elak Terbeli Rumah atau Hartanah di Lokasi Banjir
Gambar Google


Apa nak buat jika dah terbeli rumah di kawasan banjir? Nak refinance? Tak membantu. Nak jual semula rumah? Tentu akan ambil masa yang lama untuk cari pembeli dan harga tentu jatuh. Jadi apa nak buat? Jangan risau, ada beberapa cara yang boleh diteliti bagi mengatasi masalah ini. Antaranya adalah:


  1. Langgan polisi insurans bencana alam 
  2. Buat tuntutan pampasan banjir daripada LPPSA
  3. Buat tuntutan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Jika banjir kerap melanda dan awak juga dah tak mampu nak menahan penatnya melakukan operasi pembersihan selepas banjir, saya cadangkan agar jual sahaja hartanah tersebut. Masalah banjir adalah masalah bencana alam yang tidak dapat dijangka. Jika setiap tahun rumah dilanda banjir, memang bikin pening juga kan. Boleh ke Mortgage Calculator untuk pengiraan jual beli hartanah yang mudah (boleh abaikan tentang currency kerana pengiraan jual beli adalah sama sahaja seperti di Malaysia).


Saya pernah cadangkan pada ma dan abah untuk jual sahaja rumah mereka tapi mereka hanya gelak sambil beritahu yang rumah itu banyak kenangannya dan jiran tetangga juga baik. Tak mengapalah, asalkan ma dan abah sihat dan gembira..itu dah cukup. Tak mengapalah kalau saya perlu balik rumah berkemas sebelum dan selepas banjir, it's okay. Semoga ma dan abah terus sihat dan gembira, saya pun pasti gembira!

Tips Elak Terbeli Rumah atau Hartanah di Lokasi Banjir
Gambar dari Facebook


Semoga kita tak terbeli hartanah di kawasan banjir dan semoga kita juga selamat daripada berdepan dengan masalah banjir lagi selepas ini. Aamiin..

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. ramai terlepas pandang perkara ni. sbb nampak je rumah cantik trs decide nak beli

    BalasPadam