Kenangan Banjir Terburuk Kami 2022

Tarikh 27 Februari 2022 meninggalkan kenangan besar kepada kami sekeluarga apabila rumah ma dan abah di Kg Bukit Tok Bat Batu 24 Kuala Berang dinaiki air sehingga mencecah ke paras dada dan menghanyutkan hampir keseluruhan perabot rumah sekaligus merosakkan kebanyakan peralatan elektrik bersaiz besar.


Banjir Terburuk Sepanjang Hidup


Berbeza dengan banjir sebelum ini yang sering kami lalui, banjir kali ini merupakan yang terburuk sepanjang hidup saya dan keluarga. Nasib baik saya berkesempatan pulang ke rumah ma dan abah untuk membantu mana yang terdaya sebelum rumah dinaiki air. Jadi saya berpeluang untuk menjaga keselamatan dan memerhatikan mereka ketika banjir melanda rumah.


Kenangan Banjir Terburuk Kami 2022


Sebenarnya rumah abah yang telah kami huni selama 23 tahun ini adalah rumah yang dibina di kawasan kampung setelah keluar daripada rumah sewa di quarters TNB. Sepanjang menetap di rumah ini, beberapa siri banjir telah selamat kami lalui dengan kemuncak pada tahun 2004 apabila air pada saat itu naik sehingga ke paras pinggang.


Waktu itu, abah tiada pilihan lain selain membuka atap siling rumah untuk lari berlindung apabila air makin naik dan memenuhi ruang bawah rumah. Sehinggalah diselamatkan oleh staf TNB pada ketika itu lalu ma abah menumpang teduh di rumah jiran tetangga sementara menanti air surut (saya tiada di rumah kerana menyambung pelajaran di matrikulasi).


Kenangan Banjir Terburuk Kami 2022


Siri banjir lainnya pula hanya melibatkan air naik sehingga paras buku lali atau ada juga sehingga paras betis. Tiada banjir besar dan kebiasaannya kami bersedia untuk berhadapan banjir pada penghujung tahun seawal bulan Oktober sehingga Disember. Itu adalah rutin tahunan memandangkan lokasi rumah abah terletak di tanah rendah dan berdekatan dengan sungai.


Sehinggalah banjir yang terbaharu ini, kami bingung berdepan banjir saat memasuki bulan Valentine tanpa persediaan dan jangkaan. Malahan ketika banjir, kakak ipar daripada KL juga ada di rumah ingin menghabiskan cuti sekolah bersama anak kesayangan. Nah, kesian beliau. Terpaksa pula berdepan banjir saat mengharapkan saya membawanya hiking bersama-sama dengan segala kelengkapan telah dibawa bersama. Maaf ya kakjangku sayang :P


Kronologi Banjir


Hujan sudah mulai turun tanpa henti bermula minggu itu. Kemuncaknya banjir pada 27hb Februari setelah hujan berterusan selama beberapa hari. Kami sempat menggedik sehari sebelum banjir sambil berjalan lenggang kangkung membawa payung menuju ke lokasi yang dinaiki air. Fikirnya rumah kami mungkin terselamat dalam hujan kali ini tapi.. 


Keesokkan hari, hujan masih lebat namun mulai berhenti saat tengahari tiba. Meski hujan tidak lagi membasahi bumi namun paras air makin meningkat dan mulai memasuki perkarangan rumah ma dan abah pada tengahari itu. Kami masih positif, tentunya baik-baik aja kerana kami di bulan Februari, tentu tidak akan banjir.


Kenangan Banjir Terburuk Kami 2022


Jam 3 petang tepat, air mulai menjengah ke dalam rumah tanpa dijemput namun kami tidak kalut kerana telah bersedia. Semua peralatan elektrik seperti freezer, mesin basuh dan peti ais sudah kami angkat ke kedudukan lebih tinggi. Hasil gembleng tenaga bersama, tiada lagi barangan berharga berada di paras lantai sebaliknya semua berada di atas. Lalu kami teruskan aktiviti dalam keadaan tenang dan santai.


Nah, jam 4 petang kami mulai gusar saat melihat aliran air berpusing laju tanpa tanda mahu bertenang dan paras air makin meninggi. Lalu kami mula perlahan-lahan mengangkut barangan yang dirasakan perlu naik ke bilik atas. Bilik atas adalah bilik yang baru abah tambah sejak peristiwa banjir besar 2004. Memikirkan kami perlukan tempat berlindung saat banjir melanda, jadi abah buat sebuah bilik di luar rumah yang berada di tingkat atas stor rumah.


Kenangan Banjir Terburuk Kami 2022


Bilik ini jadi tempat kami berlindung saat banjir melanda juga bilik untuk menyimpan barangan berharga. Namun barangan elektrik seperti peti ais yang bersaiz besar tentulah mustahil untuk kami angkut ke dalam bilik tingkat atas. Waktu terus berputar dan paras air juga makin bertambah. Jam 6 petang ketinggian air berada pada paras pinggang kami kini.


Usaha mengangkut barangan dihentikan apabila maghrib tiba dengan ruang bilik yang semakin sempit. Seramai 10 orang bersesak di dalam satu bilik namun kami masih yakin bahawa air akan surut. Namun panggilan telefon daripada rakan-rakan dan saudara-mara yang mendesak agar kami keluar daripada lokasi banjir seakan-akan memberi peringatan bahawa air akan terus meningkat naik.


Ditolak Arus Kuat Air

Jam 8 malam, air hampir mencecah suis lampu di tingkat bawah stor. Jadi seseorang perlu masuk ke dalam rumah untuk menutup suis utama pada kotak fius bagi mengelakkan renjatan elektrik berlaku. Saya dan suami menawarkan diri melakukan tugasan ini. Namun, saat saya berpijak ke lantai sebaik turun daripada tangga, air sudah di paras leher meski saya dalam keadaan berjinjing.


Saya masih positif, saya perlu masuk bersama suami kerana risau keselamatannya jika masuk seorang diri ke dalam rumah. Saat saya memulakan langkah, saya ditolak kuat oleh arus air yang menghentam badan menyebabkan saya menuju ke arah bertentangan daripada suami. Nasib saya baik kerana saya pandai berenang walau  pun tidak mahir dan berpaut pada dinding stor. Suami segera memaut saya supaya tidak hanyut dibawa arus lagi.


Kenangan Banjir Terburuk Kami 2022

Kenangan Banjir Terburuk Kami 2022


Penyudahnya, hanya suami yang berjaya masuk ke dalam rumah untuk menutup fius utama. Jam 10 malam, kami dah mula risau bila dengar cerita satu kampung telah dinaiki air dan tiada lagi yang berada di rumah kecuali kami. Ramai yang dah berpindah ke pusat pemindahan meninggalkan rumah dinaiki air. Nasib baik, adik saya yang berada di luar lokasi banjir mendapatkan bantuan bot penyelamat untuk datang mengambil kami di bilik tingkat atas.


Kami akhirnya diselamatkan anggota penyelamat sukarelawan pada jam11.45 malam dan lokasi kami berlindung adalah di rumah adik aka makmok aka Siti Nur Suaidah. Terima kasih kepada adik tersayang untuk bantuan dan susah payah beliau. Sehingga akhirnya kami selamat mendapatkan tempat berlindung serta kembali ke rumah setelah air mulai surut pada hari kedua.


Kenangan Banjir Terburuk Kami 2022


Kenangan banjir terburuk dalam hidup ini akan kekal dalam lipatan memori saya dan diharapkan agar tiada lagi kejadian banjir besar berlaku di rumah kami pada masa mendatang. Semoga ini menjadi kenangan banjir terburuk dan terakhir kami. Aaamiin. Terima kasih juga diucapkan pada semua yang membantu, memberi sumbangan dan bertanya khabar sepanjang kejadian ini berlaku. I love u all!!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. dapat saya bayangkan betapa cemas dan takut pada hari tersebut..

    apa-apapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku..

    sebagai persediaan untuk tahun mendatang...elok pindah dari rumah tersebut atau pastikan sistem saliran bertambah baik ( ini kerja pihak berwajib tempatan]

    BalasPadam
  2. kalau saya ada kat situ entah macam mana laa paniknya. even hujan turun berterusan pun saya dah risau.
    skrg mcm mana keadaannya? dah makin pulih ke?

    BalasPadam