Cara Mengerjakan Solat Sambil Dukung Bayi


Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak kecil, saya mengalami masalah untuk menunaikan solat fardhu terutama apabila si 'puteri' kecil tidak tidur. Pada ketika mood si kecil baik, tidak menjadi masalah untuk menunaikan solat dengan selesa dan tenang, namun jika si bayi tidak mahu duduk diam dan menangis itu adalah petanda buruk yang saya terpaksa melewatkan sedikit waktu solat.


Kebiasaannya jika telah masuk waktu solat fardhu, saya akan segera menunaikan solat sebelum anak mula merengek. Namun langit tidak selalu cerah, kadang-kadang saya terlewat menunaikan solat dan pada waktu yang sama anak tidak mahu tidur serta menangis, jadi saya terpaksa memangku anak sambil solat. Waktu yang seringkali merisaukan saya adalah pada waktu Magrib kerana waktu tersebut pendek dan anak kebiasaannya tidak tidur pada waktu tersebut.

Solat Sambil Dukung Bayi

Pertama kali solat sambil memangku anak, terdetik dalam hati 'adakah ini cara yang betul untuk solat sambil pangku anak?'. Kebetulan pula anak menangis sakan pada ketika itu, jadi saya tanpa fikir panjang terus mencapai anak yang berada di sebelah saya dan meneruskan solat.


Disebabkan perasaan was-was yang timbul, jadi selepas solat saya terus membuka buku nota online untuk mencari jawapan kepada persoalan sebelum ini, adakah betul cara solat yang saya lakukan sebentar tadi? Dan ternyata ada beberapa kesilapan yang saya lakukan menyebabkan saya terpaksa mengganti semula solat saya. Ilmu yang diperoleh, lebih afdal jika dikongsi. Jadi marilah kita lihat cara yang betul untuk mengerjakan solat sambil memangku anak.

Cara Solat Sambil Memangku Anak


Tidak perlu mengangkat tangan semasa takbir dan meletakkannya di bawah dada.

Hukum mengangkat tangan semasa takbir dan meletakkannya di bawah dada adalah sunat hai'at iaitu sunat dilakukan tetapi jika tidak dilakukan tidak perlu ganti dengan sujud sahwi. Jadi sekiranya ibu tidak dapat mengangkat takbir dan meletakkannya di bawah dada kerana memangku anak, usah gusar, ianya perbuatan sunat.


Tidak perlu meletak tangan di lutut semasa rukuk.

Hukumnya juga sunat hai'at meletakkan tangan di lutut semasa rukuk. Jadi, sekiranya dalam keadaan sulit ibu boleh memangku anak tanpa melakukan perbuatan ini. Apa yang penting adalah rukuk dalam keadaan tamakninah iaitu keadaan tetap dan tidak bergerak. Ini kerana tanpa tamakninah, tidak sah solat seseorang. Pegang erat bayi bagi mengelakkan terjatuh yang boleh mencederakannya.


Letakkan bayi ke lantai semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat.

Semasa ingin bangun untuk meneruskan rakaat seterusnya, barulah ibu angkat kembali bayi dan ulangi langkah seperti di atas sehingga selesai solat.


Meskipun hukum memangku anak adalah harus, namun ibu juga harus mengambil berat beberapa perkara penting ketika menunaikan solat. Ini bagi mengelakkan solat terbatal tanpa kita mengetahuinya. Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah:


Membersihkan anak dari sebarang najis atau kotoran.

Ibu harus memastikan anak dalam keadaan bersih sebelum mula bersolat. Pastikan tiada najis di lampin bayi. Sekiranya lampin dipenuhi najis, tukar lampin baru bagi mengelakkan terkena pada pakaian solat dan perasaan was-was.


Mengawal pergerakan semasa solat.

Pergerakan besar melebihi tiga kali berturutan boleh mengakibatkan solat terbatal. Jadi, elakkan melakukan pergerakan besar melebihi tiga kali. Sekiranya anak menangis, baca dengan kuat surah semasa sedang solat untuk menarik perhatian anak. Elakkan pergerakan berlebihan.


Dada mengadap kiblat.

Masalah yang sering timbul ketika ingin mengambil anak daripada lantai adalah pergerakan badan yang terkeluar daripada menghadap kiblat. Pastikan dada sentiasa mengadap kiblat bagi mengelakkan solat terbatal.


Elakkan kecuali terpaksa.

Mengerjakan solat dalam keadaan yang tenang dan lengkap segala perbuatan sunat adalah lebih afdal. Elakkan memangku anak ketika solat kecuali jika keadaan benar-benar mendesak.

Solat Sambil Dukung Bayi

Sesungguhnya menjaga anak ketika kecil memang sangat mencabar dan memenatkan. Bukan sahaja suara tangisan bingit yang dihasilkan si kecil boleh mengganggu ketenangan solat si ibu, malahan jika anak bergayut pada kain telekung solat juga sudah cukup menambah rasa debar dalam dada ibu. Ibu nak bergerak pantas pun tidak dapat demi mengelakkan anak terjatuh. Jika anak bermain di hadapan sejadah pula, ibu terpaksa sabar menunggu sehingga anak keluar dari kawasan tempat ibu sedang bersolat.


Betapa besarnya pengorbanan seorang ibu. Tiba-tiba teringatkan ibu di kampung. Rindunya :(
Terima kasih ibu kerana sabar mendidik kami. Semoga hanya syurga tempat dan ganjaran untukmu.

Catat Ulasan

10 Ulasan

  1. ilmu baru yang sha dapat harini, boleh digunakan dimasadepan :)

    BalasPadam
  2. Islam itu mudah kan kak?! hehe Thank you sudi kongsi ilmu!! nanti share lagi tau! ^^

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu..kita je biasanya yang susahkan, semoga bermandaat ye Hana :)

      Padam
  3. terima kasih berkongsi. 1st time sy tgk situasi ni ms g mekah dulu. mmg nmpk pelik. tp bla igt blk, islam tu kan mudah?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu, saya pun belajar dengan suami. Asalnya tak tau jugak ni :)

      Padam
  4. Baru tau boleh begini ya.. tek pernah terfikir pula :) Nice sharing..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tapi anak menangis tu memang kena tahan telinga je la YS..thanks :)

      Padam
  5. perkongsian yang sangat baik.. selama ini saya ingat takbiratul ihram rukun fi'li (perbuatan). sebab tu bila saya baca entri ni saya pening. bila saya check balik, betul lah. takbiratul ihram rukun qauli (sebutan).

    jadi betul la tu, yang wajib adalah sebut allahu akbar.. perbuatan sunat.. nice share..

    BalasPadam

Rini Ismail Rini Ismail Rini Ismail